Seram…?
Friday January 25th 2008, 2:19 am
Filed under: Weblogs

Suasana tenang, bagai suasana waktu siang di filem I Am Legend. Aku menuju ke arah tandas, entah mengapa aku pun tak tahu. Tiba di situ, seorang lelaki keluar dari tandas dengan tergesa-gesa. Aku secara naluri menjenguk, apakah punca menyebabkan lelaki tersebut sedemikian. Dari refleksi cermin tandas tersebut, ku terlihat suatu lembaga seperti seorang wanita; tak ubahnya seperti Ju-On. Aku ketakutan, cuba beredar.  Kakiku terasa begitu berat. Aku bersusah payah untuk beredar. Tiba-tiba terasa tubuhku terapung-kurasakan tubuhku telah dikawal makhluk tersebut. Cuba ku melangkah, tapi begitu bersusah payah, bagai terkena penyakit parkinson barangkali. Tanganku terangkat cuba menggapai sesuatu. Perasaan tidak berdaya begitu… sukar digambarkan. Kutabahkan hati, makluk itu tidak mungkin bisa mengawal tubuhku, manusia yang diciptakan Allah dengan sebaik-baik kejadian-sebagai khalifah di muka bumi. Dari dalam hati, kusampaikan ke lisanku, membaca ayat al-Quran. Bismillahirrahmanirrahiiim. Alhamdulillahirrahmanirrahiiim.
Tiba-tiba aku tersedar, aku bermimpi. Aku yang bisa separa sedar antara mimpi dan nyata (setelah beberapa lama aku bisa mengawal situasi ini, tidak terus terkejut. dengan cara ini, selain mimpi tidak terus dilupa, mengantuk juga tidak hilang. kalau bernasib baik dengan mimpi yang baik, mungkin boleh menyambung adegan mimpi tersebut), meneruskan bacaan surah tersebut hingga akhir. Subhanallah. Agaknya inilah yang dimaksudkan, mimpi buruk mainan syaitan. Seketika aku berfikir, begitukah perasaannya apabila seseorang dirasuk? Teringat jiranku yang pernah dikatakan dirasuk makhluk halus. Aku sendiri pernah melihat beliau yang meracau tak tentu hala. Ibu bapa dikutuk, dihina tanpa belas. membawa cerita yang begitu mengarut sehingga mengaitkan Tun Mahatir. Apakah kehendak si pelaku onar tersebut.
Dalam banyak kes yang kita dengar, kisah makhluk halus selalu dikaitkan dengan "tuannya" yang berdendam pada seseorang. Jiranku yang lain juga ada yang telah meninggal dunia akibat penyakit busung. Dengar-dengar, doktor gagal mengesan penyakitnya. memang itulah jawapan biasa para doktor yang sememangnya sedar kewujudan penyakit-penyakit ganjil. Kalau tak silap "keajaiban" memang termaktub dalam buku teks doktor-doktor diseluruh dunia.
Seorang lagi yang ku kenal, hingga sekarang ada waktunya, mendapatkan rawatan paranormal mengubat santau yang dihidapinya. Beliau pernah juga di rasuk. Anak dan suami di abaikan, meracau tak tentu hala. Setelah dibawa berubat, diserang pula santau. Kemudian santau lagi sekali. Begitulah ujian tuhan. Aku juga pernah melihat cara rawatan paranormal, yang kelihatan begitu mirip/serupa sebagaimana dilihat dalam Seekers yang disiarkan di NTV7. Seorang pesakit yang pernah terjatuh dari tempat tinggi, sudah beberapa ketika masih tidak berdaya berjalan; di bawa berubat. Paranormal tersebut mampu mengungkai kembali tempat terjatuh, dan dari mana makhluk halus menyerang pada jiwa yang lemah. Beliau memulakan ritual, mengalihkan makhluk yang mendiami pesakit kedalam isterinya. Seterusnya kami dapat mendengar perbualan suami isteri(perantara) tersebut- perbualan manusia dengan makhluk halus. Hingga paranormal tersebut mengugut makhluk terbut, untuk membawa bala tentera yang dipimpin Radennya, sekiranya tidak mahu meninggalkan tubuh pesakit. Akhirnya makhluk tersebut mengalah meninggalkan pesakit. Menurut paranormal itu, makhluk halus ini bangsa jin. Dalam satu manusia, boleh ada beratus yang mendiami tubuh. Setiap mereka mempunyai lengan sebesar tin biskut. Wallahualam. Hingga kini pesakit tersebut semakin baik berbanding sebelum berubat.
Apakah kita masih belum mahu mempercayai hal-hal sihir dan ghaib begini? Nabi sendiri pernah terkena sihir. Ada seorang lagi yang ku kenal, pandai mencari barang. Mangsa A kehilangan motor RXZ diperkarangan masjid, manakala mangsa B kehilangan Yamaha Lagenda. Dengan segera menelefon ke kampung, memberi maklumat barang yang hilang, diwakilkan pengeras mungkin; insyaAllah. Kedua-dua kenderaan itu akhirnya telah ditemui. Tentulah, di balai polis, telah ditanggal-tanggalkan bahagiannya. Mungkinkah kebetulan. Sebuah kereta Iswara juga pernal hilang dan dilaporkan pada paranormal yang ku kenali ini. Hingga kini tidak ditemui.
Akhirnya, paranormal itu memang ada. Penyakit kayap juga dikatakan lebih baik berubat dengan paranormal. Orang kampungku juga ada yang pandai mengubat sakit gigi. Dikatakan orang yang dibawa berubat, samaada gigi berlubang atau lainnya, beliau akan membaca sesuatu, kemudian memaku (paku) ke atas kayu. InsyaAllah sakitnya hilang. Aku cuma mendengar orang bercerita. Dari yang bertujuan baik, juga ada bertujuan jahat. Pernah juga berlaku dikampungku, aksi rompakan tenang dipercayai menggunakan sihir/pukau. Modus operandi dikatakan waktu orang nyenyak tidur, pencuri entah bagaimana boleh membuka pintu dan merompak tanpa disedari. Mereka merompak beberapa rumah dalam sebaris dalam satu malam.
Jadi, dindinglah diri kita dengan al-Quran yang diyakini warisan Rasulullah yang mampu melawan kejahatan.